Thursday, September 18, 2008

Kenari Tunduk di Bahrain

Ternyata Skuad Hijau Kuning tidak mampu menahan asakan bertali arus para penyerang Al Muharraq malam semalam. Walaupun dapat mempertahankan kedudukan tanpa jaringan pada babak pertama namun keadaan sebaliknya berlaku pada babak kedua perlawanan. Akhirnya Kenari kecundang dengan jaringan 5 - 0. Apapun tahniah kepada semua pemain Hijau Kuning. Semangat juang kalian amat dihargai. Ada masa 90 minit lagi di Stadium Darul Aman pada 23 Sept nanti. Semoga Kenari dapat mengharungi perlawanan nanti dengan permainan yang bermutu tinggi di hadapan para penyokong sendiri.

Tuesday, September 16, 2008

Kenari vs Al Muharraq

Malam ini skuad Hijau Kuning bakal melakar sejarah baru dalam dunia bola sepak tanah air. Mampukah barisan pemain muda ini mengejutkan pasukan dari Bahrain itu untuk membawa bekalan selesa ke Alor Setar nanti. Semuanya bakal terjawab apabila kedua-dua pasukan ini bertemu pada malam nanti.

Walaupun rata-rata pemain skuad Kenari beragama Islam dan berpuasa namun itu bukanlah alasan untuk tidak bermain bermati-matian demi mnegejar satu lagi piala yang bertaraf antarabangsa. Keupayaan pemain Kedah tidak dipandang rendah oleh pasukan yang pernah mennyandang naib juara Piala AFC pada 2006 itu. Dengan ketiadaan 6 tonggak utama yang masih bersama skuad kebangsaan Bahrain untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia, pastinya kerisauan dan sedikit gusar hadir pada fikiran jurulatih Al Muharraq.

Tugas penggempur utama kini digalas oleh Khyril Muhymeen, Saramsak Kram, Badrol Bakhtiar dan Fadly Baharom. Barisan penyerang muda ini tidak sarat dengan pengalaman namun semangat juang serta kepantasan yang dimiliki bakal mengucar-kacirkan pertahanan lawan.

Sama-samalah kita nantikan keputusan perlawanan yang hebat ini. Semoga Kenari akan terbang dengan lebih tinggi lagi.
KEDAH PANTANG KALAH
BIAR JASA JADI KENANGAN

Thursday, September 11, 2008

Berlalunya UPSR 2008

Hari ini semua anak didikku pasti bergembira. Apa tidaknya, peperiksaan telah berakhir. Segala ilmu yang telah dipelajari selama 6 tahun telah pun digunakan sepenuhnya untuk menjawab soalan-soalan yang ditanya.

Kini tiba masanya untuk berserah dan bertawakkal kepada Allah. Apapun keputusan yang bakal keluar nanti, perlulah diterima dengan hati yang tabah dan reda. Haluan ke Tingkatan 1 sama ada ke sekolah berasrama penuh atau sekolah harian biasa bakal terjawab menjelang pertengahan November ini. Semoga kejayaan cemerlang menanti kalian di hadapan...

Tuesday, September 9, 2008

Matematik Kertas 2

Ceria nampaknya anak-anak didikku setelah menjawab Matematik Kertas 2 tadi. Ramai yang dapat menjawab dengan baik. Tinjauanku mendapati beberapa soalan yang dijangka keluar, ternyata ditanya. Jadi pesanan ringkasku sebelum mereka masuk ke dewan tadi rasanya berbaloi. Semuanya hanya desakan naluri yang ingin mengingatkan mereka tentang beberapa perkara yang terdetik di hati pagi tadi.
Semoga esok mereka dapat melakukan yang lebih baik untuk Kertas 1 esok. Doaku sentiasa mengiringi kalian, anak-anak didikku...

UPSR 2008

Hari ini bermulalah pertempuran sengit di dewan SK Bekuai. Para anak didikku mula memerah otak demi mencari jawapan yang tepat demi mengejar impian untuk mendapat 5A. Segala tunjuk ajar dan ilmu yang telah dicurahkan oleh semua guru sejak 6 tahun lalu dipergunakan untuk memenuhi impian tersebut.

Yang bersedia rasanya tidak ada masalah untuk melakar kejayaan cemerlang. Yang kurang persediaan akan menghadapi sedikit masalah untuk mengejar markah lulus. Yang tidak bersedia langsung akan menerima habuan seperti mana kegagalannya merancang untuk bersedia.

Itulah hakikat yang harus ditelan demi mengejar kejayaan dalam apa jua bidang. Begitulah jua dalam kehidupan. Setiqap langkah yang diambil perlu dirancang dan dikaji baik buruknya. Bukan apa sebagai persediaan kerana sebagai insan pasti tidak akan terlepas daripada dugaan dan godaan.

Apapun Selamat Menghadapi Peperiksaan UPSR 2008 buat semua anak didikku...
Semoga kalian berjaya dan mendapat keputusan yang bukan sahaja menggembirakan diri sendiri, ibu ayah malahan juga kami warga guru SK Bekuai.

Saturday, September 6, 2008

Hujan...

Dingin terasa
kala pagi masih muda
titisan demi titisan air membasahi bumi
tanda rahmat dari Ilahi

Sedang diri masih mencari
dalam titisan hujan bak mutiara ini
sesuatu yang sukar dierti
itulah tujuan hidup ini

Bisakah diri meniti lorong-lorong suci
mencari berkat dan reda Ilahi
semoga hidup tetap dilayari
menurut misi dan visi

Friday, September 5, 2008

Perginya Seorang Tokoh Wartawan Negara

Tanggal 4 Setember 2008, kembalinya seorang tokoh wartawan negara, Tan Sri A Samad Ismail. Setelah lebih kurang 12 hari terlantar di hospital, Allahyarham menghembuskan nafas yang terakhir kira-kira pukul 5.58 petang semalam.

Pemergiannya meninggalkan banyak kenangan dan sejarah dalam bidang kewartawanan negara. Sumbangan beliau dalam bidang tersebut amat besar dalam memajukan negara seiring dengan kemajuan bidang kewartawanan.

Sesungguhnya mata pena lebih tajam daripada mata pedang. Berbekalkan pepatah itulah Pak Samad memperjuangkan martabat bangsa dan agama melalui mata penanya. Apapun jasa dan sumbangannya tidak akan luput dimamah usia. Segala pengorbanan dalam perjuangannya wajar dikenang oleh generasi muda pada masa kini.

Perjuangannya harus diteruskan oleh penulis-penulis muda yang baru menempa nama dalam bidang kewartawanan ini. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah...

Thursday, September 4, 2008

Sesuci Ramadhan

Bulan mulia ini datang dan pergi saban tahun. Hanya dengan iman dan keinsafan yang tinggi bisa menyedarkan kita betapa besarnya rahmat dan nikmat yang Allah kurniakan dalam bulan ini.
Sedarkah kita bahawa bulan ini adalah satu-satunya bulan yang membawa keberkatan dan kurniaan pahala yang berlipat kali ganda daripada bulan-bulan yang lain.

Oleh itu, sama-samalah kita berusaha untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.a.w dan perbanyakkan amalan sedekah kepada yang berhak demi menyucikan hati dan sanubari kita agar sentiasa mentaati perintah Ilahi.

Basahkanlah lidah dengan alunan ayat-ayat suci Al-Quran dan zikir supaya diri kita tidak hanyut dengan godaan nafsu yang acapkali menggoncang keimanan kita.

Zakat fitrah jangan pula kita lupa untuk menyucikan jiwa dan menunaikan rukun Islam yang kelima. Semoga ibadah puasa kita pada tahun ini akan diberkati dan dikurniakan pahala oleh Allah hendaknya.
Amin.

Tuesday, September 2, 2008

Selamat Datang Ramadhan Al Mubarak


Ramadhan datang lagi
Muslimin dan muslimat girang sekali
Bulan yang dirahmati
Setiap amalan baik akan diberkati

Iblis dan syaitan diikat rapi
Hanya nafsu dalam sanubari
Menggoyahkan iman insani
Agar hanyut dan lemas sendiri

Ramadhan datang dan pergi
Rahmat dan nikmat dicurahkan Ilahi
Marilah kita sekalian insafi
Tingkatkan taqwa dan amal sebelum mati
SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA