Sunday, August 24, 2008

Kenari Terbang Tinggi di Awan...



Menakjubkan!!!

Tiada kata yang boleh diungkapkan setelah melihat kemantapan persembahan Skuad Hijau Kuning memenangi Piala Malaysia malam tadi. Segalanya jelas kehebatan dan gahnya permainan yang penuh yakin ditunjukkan ketika meratah keampuhan benteng pertahanan Red Giants tanpa belas kasihan.


Komitmen padu dan kombinasi barisan serangan yang jitu menjelmakan asakan bertali arus ke kubu lawan. Biarpun dikejutkan dengan jaringan awal oleh Frank Seator (mungkin gol itu lebih kepada nasib) yang menerpa ketika Helmi Eliza sudah pun tertewas, namun kebangkitan dan semangat melawan yang dipamerkan dalam masa 6 minit sahaja mengubah segala-galanya.


Semangat para pemain Selangor ibarat direntap dek permainan bergaya oleh pemain-pemain muda Sang Kenari. Rentak permainan keseluruhannya berubah gara-gara ketenangan yang ditunjukkan oleh Marlon Alex James yang mudah meloloskan diri daripada 4 orang pemain pertahanan Selangor sebelum meledakkan jaringan pertama Kedah.


Jaringan kedua menyusul 2 minit kemudian hasil kombinasi menarik antara Khyril Muhymeen dan Nelson Sam Martin. Giliran Nelson meledakkan gol cantik setelah Khyril menggunakan kemahirannya menghantar bola ke belakang yang memberi ruang yang baik untuk Nelson melakukan rembatan ke gawang Selangor .


Kedudukan 2-1 tidak kekal lama apabila 5 minit kemudian giliran pemain muda Kedah, Mohd Fadly Baharom pula menjarakkan jurang gol. Kealpaan barisan pertahanan Selangor yang cuba bertukar-tukar hantaran di hadapan gol membawa padah dan terpaksa dibayar dengan harga yang tinggi. Kesempatan dan ruang yang terbuka di hadapan pintu gol dimanfaatkan sepenuhnya oleh Fadly yang melakukan rembatan cantik untuk sekali lagi mengecewakan penjaga gol Selangor.


Safee Sali cuba merapatkan jurang gol pada minit ke-70 namun segalanya sudah terlambat untuk Kenari merayakan kejayaan 'double treble' buat tahun ke2 berturut-turut. Satu lagi sejarah tercipta dalam bolasepak Malaysia.


Sesungguhnya permainan Hijau Kuning malam tadi amat kemas dan bertenaga. Walaupun dibayangi dengan kesedihan kerana trio import akan meninggalkan bumi bertuah Hijau Kuning ini, namun semua itu diketepikan. Terima kasih kepada kalian kerana sumbangan tenaga dan ilmu yang telah dicurahkan kepada pemain tempatan Kedah Darul Aman. Jasamu akan kami kenang.



KEDAH JUARA LAGI!!!


BIAR JASA JADI KENANGAN

No comments: