Friday, August 8, 2008

Menghayati Erti Kermerdekaan

M E R D E K A!

Perkataan keramat ini amat sinonim dengan bulan Ogos setiap tahun. 51 tahun yang lalu, tanah air ini bebas daripada penjajah. Apa sebenarnya erti kemerdekaan ini?
Adakah dengan hanya melaungkan MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
Adakah hanya dengan mengibarkan JALUR GEMILANG?
Adakah hanya dengan mengadakan perarakan raksasa setiap 31 OGOS?
Adakah hanya dengan mengadakan konsert-konsert sempena DIAMBANG MERDEKA?

Bagi bekas-bekas pejuang kemerdekaan, MERDEKA ibarat kurniaan Allah yang tidak ternilai. Segala pengorbanan dan keperitan semasa dalam perjuangan menentang penjajah terasa amat bermakna. Kepada yang terkorban, jasa mereka dikenang dan nama mereka disanjung oleh pewaris nusa dan bangsa. Harapan para pejuang agar kemerdekaan ini akan terus terbela dan nikmat ini akan kekal untuk generasi pewaris yang seterusnya.

TETAPI

Hakikatnya indah khabar dari rupa.....Pewaris nusa bangsa kini ibarat hilang punca. Tenggelam dalam arus kemodenan yang tak bertepi. Penjajahan minda kian berleluasa. Anak-anak muda hanyut dibuai mimpi-mimpi, diulit kemewahan bukan hasil sendiri dan leka dengan angan-angan kosong. Masalah sosial dan keruntuhan akhlak mencemari nikmat kemerdekaan lebih setengah abad ini. Mat rempit dan minah rempit merajai jalan raya.'Doktor-doktor tidak bertauliah' mengisi kekosongan jawatan di lorong-lorong gelap dan di bawah jambatan. Penuntut-penuntut di IPT yang cemerlang semuanya adalah wanita berbanding lelaki. Modal insan yang benar-benar berwibawa cuma berapa kerat sahaja yang bakal dilahirkan. Inilah fenomena yang berlaku kini.

REALITINYA

Kita tidak harus meletakkan tanggungjawab melahirkan modal insan ini hanya kepada pihak kepimpinan utama sahaja. Malah bakal pemimpin boleh diasuh dan dididik sejak dari dalam rahim ibu lagi. Sekiranya setiap pewaris di negara ini mampu mendidik setiap modal insan yang lahir dengan penuh kasih sayang dan ilmu pengetahuan yang mantap maka tidak hairanlah nikmat kemerdekaan ini akan terus terbela dan terpelihara selama-lamanya.

No comments: