Tuesday, August 26, 2008

Biar Jasa Jadi Kenangan





Titisan keringat kalian dibalas dengan kurniaan pingat tanda sejuta penghargaan daripada KDYMM Sultan Kedah Darul Aman.




Jelas riak wajah masing-masing puas dan ceria setelah berhempas pulas mempersembahkan permainan bertenaga dan menghiburkan sepanjang musim 2007/2008.




Selaku penyokong dan peminat setia, seluruh warga Kedah Darul Aman seharusnya berterima kasih dan berbangga dengan kecemerlangan barisan pemain Hijau Kuning ini kerana telah mencetuskan satu lagi revolusi dalam kancah bola sepak di Malaysia. Sejarah demi sejarah dilakar dengan kebangkitan memenangi 6 kejuaraan dalam 2 musim.




Jutaan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga ditujukan kepada Skuad Kenari terutama pengemudi pasukan Mohd Azrai Khor Abdullah serta barisan penolong jurulatih yang telah mencurah segala ilmu demi kejayaan pasukan kesukaan ramai ini.




Kepada barisan pemain, sekalung tahniah dan syabas atas bakti dan semangat juang yang dipamerkan sepanjang pertandingan diadakan. Titisan keringat kalian tidak ternilai dengan hadiah yang diberikan kepada semua peminat.




Buat trio import, jasa kalian amat besar dalam pembangunan bola sepak di Kedah. Semoga segala ilmu yang dicurahkan kepada anak-anak tempatan dibalas dengan rezeki yang melimpah ruah hendaknya. Selamat berjaya dalam MSL buat Marlon Alex James dan Bernard ' Outlaw' Huggings . Kepada Nelson, selamat kembali ke Chile bersama keluarga tercinta.




Segala cetusan revolusi dan rentetan kejayaan pasukan Kedah ini hadir dengan sumbangan Bapa Bola Sepak Kedah, Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri b Akil. Segala kejayaan ini adalah bermula daripada inspirasinya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan di kalangan hambaNya yang soleh.




1 comment:

teratakdamai said...

Tahniah..
peminat Kedah..