Wednesday, December 17, 2008

JEMPUTAN MAJLIS DOA SELAMAT DAN KESYUKURAN

Assalamualaikum....
Dijemput kepada semua pelawat blog ini untuk menghadiri majlis kesyukuran tersebut bertempat di No. 181, Teratak Impian Kasih, Padang Tamat , Pengkalan Hulu pada hari Ahad, 21 Disember 2008 pukul 3.00 petang hingga pukul 7.00 malam. Datanglah bersama keluarga bagi memeriahkan lagi majlis tersebut.
Sekian dimaklumkan.

Thursday, September 18, 2008

Kenari Tunduk di Bahrain

Ternyata Skuad Hijau Kuning tidak mampu menahan asakan bertali arus para penyerang Al Muharraq malam semalam. Walaupun dapat mempertahankan kedudukan tanpa jaringan pada babak pertama namun keadaan sebaliknya berlaku pada babak kedua perlawanan. Akhirnya Kenari kecundang dengan jaringan 5 - 0. Apapun tahniah kepada semua pemain Hijau Kuning. Semangat juang kalian amat dihargai. Ada masa 90 minit lagi di Stadium Darul Aman pada 23 Sept nanti. Semoga Kenari dapat mengharungi perlawanan nanti dengan permainan yang bermutu tinggi di hadapan para penyokong sendiri.

Tuesday, September 16, 2008

Kenari vs Al Muharraq

Malam ini skuad Hijau Kuning bakal melakar sejarah baru dalam dunia bola sepak tanah air. Mampukah barisan pemain muda ini mengejutkan pasukan dari Bahrain itu untuk membawa bekalan selesa ke Alor Setar nanti. Semuanya bakal terjawab apabila kedua-dua pasukan ini bertemu pada malam nanti.

Walaupun rata-rata pemain skuad Kenari beragama Islam dan berpuasa namun itu bukanlah alasan untuk tidak bermain bermati-matian demi mnegejar satu lagi piala yang bertaraf antarabangsa. Keupayaan pemain Kedah tidak dipandang rendah oleh pasukan yang pernah mennyandang naib juara Piala AFC pada 2006 itu. Dengan ketiadaan 6 tonggak utama yang masih bersama skuad kebangsaan Bahrain untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia, pastinya kerisauan dan sedikit gusar hadir pada fikiran jurulatih Al Muharraq.

Tugas penggempur utama kini digalas oleh Khyril Muhymeen, Saramsak Kram, Badrol Bakhtiar dan Fadly Baharom. Barisan penyerang muda ini tidak sarat dengan pengalaman namun semangat juang serta kepantasan yang dimiliki bakal mengucar-kacirkan pertahanan lawan.

Sama-samalah kita nantikan keputusan perlawanan yang hebat ini. Semoga Kenari akan terbang dengan lebih tinggi lagi.
KEDAH PANTANG KALAH
BIAR JASA JADI KENANGAN

Thursday, September 11, 2008

Berlalunya UPSR 2008

Hari ini semua anak didikku pasti bergembira. Apa tidaknya, peperiksaan telah berakhir. Segala ilmu yang telah dipelajari selama 6 tahun telah pun digunakan sepenuhnya untuk menjawab soalan-soalan yang ditanya.

Kini tiba masanya untuk berserah dan bertawakkal kepada Allah. Apapun keputusan yang bakal keluar nanti, perlulah diterima dengan hati yang tabah dan reda. Haluan ke Tingkatan 1 sama ada ke sekolah berasrama penuh atau sekolah harian biasa bakal terjawab menjelang pertengahan November ini. Semoga kejayaan cemerlang menanti kalian di hadapan...

Tuesday, September 9, 2008

Matematik Kertas 2

Ceria nampaknya anak-anak didikku setelah menjawab Matematik Kertas 2 tadi. Ramai yang dapat menjawab dengan baik. Tinjauanku mendapati beberapa soalan yang dijangka keluar, ternyata ditanya. Jadi pesanan ringkasku sebelum mereka masuk ke dewan tadi rasanya berbaloi. Semuanya hanya desakan naluri yang ingin mengingatkan mereka tentang beberapa perkara yang terdetik di hati pagi tadi.
Semoga esok mereka dapat melakukan yang lebih baik untuk Kertas 1 esok. Doaku sentiasa mengiringi kalian, anak-anak didikku...

UPSR 2008

Hari ini bermulalah pertempuran sengit di dewan SK Bekuai. Para anak didikku mula memerah otak demi mencari jawapan yang tepat demi mengejar impian untuk mendapat 5A. Segala tunjuk ajar dan ilmu yang telah dicurahkan oleh semua guru sejak 6 tahun lalu dipergunakan untuk memenuhi impian tersebut.

Yang bersedia rasanya tidak ada masalah untuk melakar kejayaan cemerlang. Yang kurang persediaan akan menghadapi sedikit masalah untuk mengejar markah lulus. Yang tidak bersedia langsung akan menerima habuan seperti mana kegagalannya merancang untuk bersedia.

Itulah hakikat yang harus ditelan demi mengejar kejayaan dalam apa jua bidang. Begitulah jua dalam kehidupan. Setiqap langkah yang diambil perlu dirancang dan dikaji baik buruknya. Bukan apa sebagai persediaan kerana sebagai insan pasti tidak akan terlepas daripada dugaan dan godaan.

Apapun Selamat Menghadapi Peperiksaan UPSR 2008 buat semua anak didikku...
Semoga kalian berjaya dan mendapat keputusan yang bukan sahaja menggembirakan diri sendiri, ibu ayah malahan juga kami warga guru SK Bekuai.

Saturday, September 6, 2008

Hujan...

Dingin terasa
kala pagi masih muda
titisan demi titisan air membasahi bumi
tanda rahmat dari Ilahi

Sedang diri masih mencari
dalam titisan hujan bak mutiara ini
sesuatu yang sukar dierti
itulah tujuan hidup ini

Bisakah diri meniti lorong-lorong suci
mencari berkat dan reda Ilahi
semoga hidup tetap dilayari
menurut misi dan visi

Friday, September 5, 2008

Perginya Seorang Tokoh Wartawan Negara

Tanggal 4 Setember 2008, kembalinya seorang tokoh wartawan negara, Tan Sri A Samad Ismail. Setelah lebih kurang 12 hari terlantar di hospital, Allahyarham menghembuskan nafas yang terakhir kira-kira pukul 5.58 petang semalam.

Pemergiannya meninggalkan banyak kenangan dan sejarah dalam bidang kewartawanan negara. Sumbangan beliau dalam bidang tersebut amat besar dalam memajukan negara seiring dengan kemajuan bidang kewartawanan.

Sesungguhnya mata pena lebih tajam daripada mata pedang. Berbekalkan pepatah itulah Pak Samad memperjuangkan martabat bangsa dan agama melalui mata penanya. Apapun jasa dan sumbangannya tidak akan luput dimamah usia. Segala pengorbanan dalam perjuangannya wajar dikenang oleh generasi muda pada masa kini.

Perjuangannya harus diteruskan oleh penulis-penulis muda yang baru menempa nama dalam bidang kewartawanan ini. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah...

Thursday, September 4, 2008

Sesuci Ramadhan

Bulan mulia ini datang dan pergi saban tahun. Hanya dengan iman dan keinsafan yang tinggi bisa menyedarkan kita betapa besarnya rahmat dan nikmat yang Allah kurniakan dalam bulan ini.
Sedarkah kita bahawa bulan ini adalah satu-satunya bulan yang membawa keberkatan dan kurniaan pahala yang berlipat kali ganda daripada bulan-bulan yang lain.

Oleh itu, sama-samalah kita berusaha untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.a.w dan perbanyakkan amalan sedekah kepada yang berhak demi menyucikan hati dan sanubari kita agar sentiasa mentaati perintah Ilahi.

Basahkanlah lidah dengan alunan ayat-ayat suci Al-Quran dan zikir supaya diri kita tidak hanyut dengan godaan nafsu yang acapkali menggoncang keimanan kita.

Zakat fitrah jangan pula kita lupa untuk menyucikan jiwa dan menunaikan rukun Islam yang kelima. Semoga ibadah puasa kita pada tahun ini akan diberkati dan dikurniakan pahala oleh Allah hendaknya.
Amin.

Tuesday, September 2, 2008

Selamat Datang Ramadhan Al Mubarak


Ramadhan datang lagi
Muslimin dan muslimat girang sekali
Bulan yang dirahmati
Setiap amalan baik akan diberkati

Iblis dan syaitan diikat rapi
Hanya nafsu dalam sanubari
Menggoyahkan iman insani
Agar hanyut dan lemas sendiri

Ramadhan datang dan pergi
Rahmat dan nikmat dicurahkan Ilahi
Marilah kita sekalian insafi
Tingkatkan taqwa dan amal sebelum mati
SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA

Tuesday, August 26, 2008

Biar Jasa Jadi Kenangan





Titisan keringat kalian dibalas dengan kurniaan pingat tanda sejuta penghargaan daripada KDYMM Sultan Kedah Darul Aman.




Jelas riak wajah masing-masing puas dan ceria setelah berhempas pulas mempersembahkan permainan bertenaga dan menghiburkan sepanjang musim 2007/2008.




Selaku penyokong dan peminat setia, seluruh warga Kedah Darul Aman seharusnya berterima kasih dan berbangga dengan kecemerlangan barisan pemain Hijau Kuning ini kerana telah mencetuskan satu lagi revolusi dalam kancah bola sepak di Malaysia. Sejarah demi sejarah dilakar dengan kebangkitan memenangi 6 kejuaraan dalam 2 musim.




Jutaan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga ditujukan kepada Skuad Kenari terutama pengemudi pasukan Mohd Azrai Khor Abdullah serta barisan penolong jurulatih yang telah mencurah segala ilmu demi kejayaan pasukan kesukaan ramai ini.




Kepada barisan pemain, sekalung tahniah dan syabas atas bakti dan semangat juang yang dipamerkan sepanjang pertandingan diadakan. Titisan keringat kalian tidak ternilai dengan hadiah yang diberikan kepada semua peminat.




Buat trio import, jasa kalian amat besar dalam pembangunan bola sepak di Kedah. Semoga segala ilmu yang dicurahkan kepada anak-anak tempatan dibalas dengan rezeki yang melimpah ruah hendaknya. Selamat berjaya dalam MSL buat Marlon Alex James dan Bernard ' Outlaw' Huggings . Kepada Nelson, selamat kembali ke Chile bersama keluarga tercinta.




Segala cetusan revolusi dan rentetan kejayaan pasukan Kedah ini hadir dengan sumbangan Bapa Bola Sepak Kedah, Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri b Akil. Segala kejayaan ini adalah bermula daripada inspirasinya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan di kalangan hambaNya yang soleh.




Sunday, August 24, 2008

Kenari Terbang Tinggi di Awan...



Menakjubkan!!!

Tiada kata yang boleh diungkapkan setelah melihat kemantapan persembahan Skuad Hijau Kuning memenangi Piala Malaysia malam tadi. Segalanya jelas kehebatan dan gahnya permainan yang penuh yakin ditunjukkan ketika meratah keampuhan benteng pertahanan Red Giants tanpa belas kasihan.


Komitmen padu dan kombinasi barisan serangan yang jitu menjelmakan asakan bertali arus ke kubu lawan. Biarpun dikejutkan dengan jaringan awal oleh Frank Seator (mungkin gol itu lebih kepada nasib) yang menerpa ketika Helmi Eliza sudah pun tertewas, namun kebangkitan dan semangat melawan yang dipamerkan dalam masa 6 minit sahaja mengubah segala-galanya.


Semangat para pemain Selangor ibarat direntap dek permainan bergaya oleh pemain-pemain muda Sang Kenari. Rentak permainan keseluruhannya berubah gara-gara ketenangan yang ditunjukkan oleh Marlon Alex James yang mudah meloloskan diri daripada 4 orang pemain pertahanan Selangor sebelum meledakkan jaringan pertama Kedah.


Jaringan kedua menyusul 2 minit kemudian hasil kombinasi menarik antara Khyril Muhymeen dan Nelson Sam Martin. Giliran Nelson meledakkan gol cantik setelah Khyril menggunakan kemahirannya menghantar bola ke belakang yang memberi ruang yang baik untuk Nelson melakukan rembatan ke gawang Selangor .


Kedudukan 2-1 tidak kekal lama apabila 5 minit kemudian giliran pemain muda Kedah, Mohd Fadly Baharom pula menjarakkan jurang gol. Kealpaan barisan pertahanan Selangor yang cuba bertukar-tukar hantaran di hadapan gol membawa padah dan terpaksa dibayar dengan harga yang tinggi. Kesempatan dan ruang yang terbuka di hadapan pintu gol dimanfaatkan sepenuhnya oleh Fadly yang melakukan rembatan cantik untuk sekali lagi mengecewakan penjaga gol Selangor.


Safee Sali cuba merapatkan jurang gol pada minit ke-70 namun segalanya sudah terlambat untuk Kenari merayakan kejayaan 'double treble' buat tahun ke2 berturut-turut. Satu lagi sejarah tercipta dalam bolasepak Malaysia.


Sesungguhnya permainan Hijau Kuning malam tadi amat kemas dan bertenaga. Walaupun dibayangi dengan kesedihan kerana trio import akan meninggalkan bumi bertuah Hijau Kuning ini, namun semua itu diketepikan. Terima kasih kepada kalian kerana sumbangan tenaga dan ilmu yang telah dicurahkan kepada pemain tempatan Kedah Darul Aman. Jasamu akan kami kenang.



KEDAH JUARA LAGI!!!


BIAR JASA JADI KENANGAN

Friday, August 22, 2008

Bangunlah Anak-anak Didikku!!!

Anak-anak didikku...
Tinggal sepurnama lagi UPSR bakal menjelang,
Bersediakan kalian untuk menghadapinya?

Masa kian hampir,
Usah persiakan masa yang berlalu hanya dengan berangan yang tak sudah,
Pedulikan dengan mimpi-mimpi indah,

Berpijaklah pada bumi nyata,
Realitinya masa tidak akan bisa diulangi,
Teruskan usaha demi cita-cita murni,

Agar kejayaan ditangisi kerana kegembiraan,
Bukan diratapi hanya kerana kesilapan sendiri.

Nukilan : Kelana Rimba Abadi

Thursday, August 21, 2008

Durratun Insyirah Iwani


Anak ke-2 ku,

Baru 8 bulan usianya...

Gelagatnya amat mengusik jiwa.


Rinduku padanya tatkala dia kutinggalkan,

Sedetik pun tidak akan kupersiakan,

Masa berhargaku bersama anaku-anakku ini...


Bersama Abang Long memecah kesunyian Teratak Impian Kasih

Semoga kebahagiaan ini kekal selamanya...

Ingatkan Sahabatku Yang Kawin....


Nukilan buat teman,


Kusangka dia yang kawin,

rupanya bukan...

kekandanya yang kawin.


Dia hanya pengapit,

tidak mengapa, ada jodoh kekandanya akan jadi pengapitnya pula.


Doa kami sekeluarga...

Semoga bertemu jodoh sehati sejiwa,

Agar tenang damai di dunia fana.


Sekadar catatan buat renungan temanku...

Saudara Luqman Hidayat.

Hijau Kuning atau Merah Kuning?

Segalanya bakal terjawab menjelang perlawanan akhir TM Piala Malaysia Sabtu ini. Bisakah skuad muda Kedah yang diadun bersama kemantapan pemain import Sang Kenari merobek dan melanyak Skuad Gergasi Merah di hadapan penyokong mereka sendiri?

Jelas pada perlawanan akhir TM Piala FA yang lalu, Gergasi Merah diratah, semangat mereka direntap dek kerakusan penyerang-penyerang muda Sang Kenari untuk memburu gol demi gol sehinggalah Skuad Dollah Salleh tersungkur di laman sendiri...

Apapun segalanya bergantung kepada 90 minit masa permainan nanti. Semoga dengan kehadiran KDYMM Sultan Kedah akan membangkitkan semangat juang Skuad Hijau Kuning untuk meleburkan impian Gergasi merah Kuning itu.

PULUN KEDAH PULUN

KEKALKAN PIALA MALAYSIA DI BUMI HIJAU KUNING!!!

Saturday, August 16, 2008

Bisakah Hijau Kuning Menggegar Lagi?

Malam ini adalah penentu sama ada Skuad Hijau Kuning mampu atau tidak untuk mengulangi kejayaan layak ke final Piala Malaysia edisi 2007/2008. Dengan berbekalakan jarinngan 3 gol, sudah tentu semangat anak-anak buah Azraai Khor Abdullah akan berkobar-kobar untuk mempertahankan piala yang dimenangi pada tahun lalu.

Segalanya bakal terjawab pada malam ini. Tentunya Terengganu akan bermati-matian untuk mencari gol demi gol bagi menyaingi kemaraan pemain Kedah. Apapun pemain-pemain muda Kedah diharapkan agar terus mempamerkan kecemerlangan demi menaikkan imej bola sepak Kedah di persada tanahair dan antarabangsa.

SELAMAT BERJUANG SKUAD HIJAU KUNING !!!

BIAR JASA JADI KENANGAN !!!

Kilauan Emas atau Perak?

Peluang Malaysia untuk merangkul sekurang-kurangnya satu pingat dalam Sukan Olimpik Beijing 2008 semakin cerah apabila pemain badminton utama negara, Lee Chong Wei berjaya menempah tiket ke perlawanan akhir untuk bertemu pemain tuan rumah, Lin Dan.

Namun pingat yang ditungu-tunggu sama ada berwarna emas atau perak, bakal diketahui pada malam esok. Semuanya bergantung kepada keupayaan Chong Wei sama ada mampu atau tidak untuk meruntuhkan Tembok Besar Cina itu selaku pemain nombor satu dunia pada ketika ini. Apapun reputasi Chong Wei dan semangatnya yang tidak mudah mengalah menjadi senjata utama untuk meranapkan impian China daripada menyapu bersih pingat emas dalam acara badminton.

Apapun selamat berjuang Lee Chong Wei!

MALAYSIA BOLEH!!!

Friday, August 15, 2008

Cuti oh Cuti

Musim cuti sekolah menjelang lagi.
Pesta kenduri pun bermula.
Pada kesempatan ini, ramai juga yang mengambil peluang untuk melancong, berkelah dan sebagainya.
Seronok, ceria dan bahagia bersama anak-anak, saudara mara, rakan taulan dan semuanya.

Tapi...
Kepada rakan guru dan teman seperjuangan yang mengajar Tahun 6...
Apalah daya kita,
Tugas mendidik anak bangsa belum merelakan kita untuk bergembira.

Perjalanan masa kian hampir untuk menguji bunga-bunga bangsa ini
Peperiksaan UPSR bakal menjelang sepurnama dari sekarang.

Bersediakah kita untuk menghadapinya?
Apakah sudah cukup bekalan ilmu dicurahkan buat senjata anak-anak untuk bertempur nanti?

Muhasabahlah diri dan fikir-fikirkanlah apa yang terbaik untuk kita lakukan demi anak bangsa tercinta...

SEMOGA KITA SEMUA BERJAYA DAN MENDAPAT PETUNJUK DARI ALLAH HENDAKNYA, AMIN.

Kenari Menang Bergaya

Kedah menggegar lagi! Kali ini giliran Sang Penyu pula menangis di bumi Hijau kuning. Malam esok pastinya Sang Kenari akan berhempas pulas di Gong Badak untuk mengekang pemain-pemain Terenggganu di laman sendiri untuk mempertahankan kelebihan tiga gol sebagai bekalan untuk ke perlawanan akhir Piala Malaysia pada musim ini.

Kemenangan manis di Stadium Darul Aman kelmarin hasil ledakan jaringan Badrul Bakhtiar, Marlon Alex James dan Khyril Muhymeen. Namun nasib tidak menyebelahi Nelson Sam Martin yang kempunan untuk menjaringkan gol setelah tendangan penaltinya melewati palang gol pada minit ke-70. Apapun Kenari telah selangkah menuuju ke final Piala Malaysia pada musim ini dan bakal berhadapan sama ada Selangor atau Johor FC pada perlawanan akhir pada 23 Ogos depan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Semoga Kenari akan terbang lebih tinggi.

BIAR JASA JADI KENANGAN!

Monday, August 11, 2008

Sayang Sayang Buah Kepayang...

Sayang... ungkapan indah mainan di bibir setiap insan yang dibuai cinta.
Apakah mudah untuk melafazkan sayang?
Sesungguhnya beruntunglah orang yang selalu disayang oleh orang yang menyayanginya...
Bukan seperti sesetengah orang yang senang melafazkan sayang tetapi tidak melakukan seperti apa yang dikata itu...
Kasihan pada orang yang ditujukan kata sayang tetapi mudah menyerahkan apa sahaja termasuk harga diri demi menyatakan rasa sayang pada orang yang disayangi.
Kononnya sayang itu indah dan mampu membahagiakan tetapi kenapa mudah benci selepas melafazkan sayang?
Apa pula yang terjadi sekiranya sayang umpama buah kepayang.... hendak ditelan pahit terasa dan hendak dibuang sayang pula rasanya.

Jadi sayangilah orang yang benar-benar sayangkan anda.

Biarpun pahit telanlah apa jua cabarannya, sesungguhnya pahit akan manis jua akhirnya...InsyaAllah.

Saturday, August 9, 2008

KUASA MANUSIA


Apalah ertinya kuasa pada manusia andai bukan kurniaan daripada rezeki Allah.

Kuasa manusia hanya terletak pada nama, jawatan, pangkat, darjat dan gelaran semata-mata.

Kuasa yang diperolehi dengan pelbagai cara. Ada yang memperolehinya dengan hasil usaha keras dan titik peluh sendiri. Itulah yang asli dan dipandang tinggi.


Tidak seperti segelintir manusia yang tamakkan kuasa.

Ada yang gila kuasa.

Bermegah-megah hanya kerana mempunyai kuasa untuk menindas orang lain.

Mengambil tindakan yang membuta tuli.

Menggunakan kuasa untuk kepentingan peribadi dan memperolehi kemewahan dengan cara yang paling keji.


Ingatlah para manusia,

segala kuasa itu hanya sementara.

Kuasa Allah jualah yang kekal selamanya.


*Semoga insaflah hendaknya orang-orang yang tamak dan gila kuasa di dunia fana ini*

Friday, August 8, 2008

Kenari Mengganas Lagi...

Skuad Hijau Kuning terus melebarkan rekod cemerlang dalam arena bola sepak tempatan khususnya Piala Malaysia apabila membenam skuad Seladang dengan jaringan 3-0 dalam pusingan pertama suku akhir Piala Malaysia di Stadium Darulaman. Berbekalkan reputasi sebagai juara bertahan dan juara 2 piala musim ini, skuad Hijau Kuning hanya mendapat tentangan 30 minit pertama perlawanan. Selepas itu, ayam tambatan Kenari mula agresif meledakkan gol pendahuluan.

Marlon Alex James membuktikan kewibawaannya sebagai penyerang profilik profesional yang disegani dengan meledakkan jaringan hatrik bermula pada minit ke-30, 32 dan 42. Kecemerlangan Marlon dan jasanya bersama skuad Hijau Kuning pasti akan diingati oleh para peminat bola sepak Kedah. Dengan bantuan rakan sepasukan, Marlon ternyata tidak mengecewakan pihak pengurusan pasukan mahupun puluhan ribu peminat yang hadir dengan melakukan jaringan demi jringan bagi memastikan pasukan kesayangan ramai ini layak dengan selesa ke peringkat separuh akhir.

Tahniah dan syabas buat barisan pemain Azraai Khor Abdullah. Semoga malam esok skuad Seladang akan lebih berhati-hati dengan kelibat Marlon Alex James. Sedikit sahaja kealpaan pasti membawa padah. Itulah yang terjadi pada perlawanan kelmarin. Namun bukan tanggungjawab menjaringkan gol dibebani kepada Marlon sahaja, bahkan semua pemain Kenari waima Helmi Eliza sekalipun mampu untuk meledakkan jaringan buat pasukan Kedah.

Semoga Kedah terus cemerlang dan gemilang.

PIALA MALAYSIA BURUAN KENARI!!!

Menghayati Erti Kermerdekaan

M E R D E K A!

Perkataan keramat ini amat sinonim dengan bulan Ogos setiap tahun. 51 tahun yang lalu, tanah air ini bebas daripada penjajah. Apa sebenarnya erti kemerdekaan ini?
Adakah dengan hanya melaungkan MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
Adakah hanya dengan mengibarkan JALUR GEMILANG?
Adakah hanya dengan mengadakan perarakan raksasa setiap 31 OGOS?
Adakah hanya dengan mengadakan konsert-konsert sempena DIAMBANG MERDEKA?

Bagi bekas-bekas pejuang kemerdekaan, MERDEKA ibarat kurniaan Allah yang tidak ternilai. Segala pengorbanan dan keperitan semasa dalam perjuangan menentang penjajah terasa amat bermakna. Kepada yang terkorban, jasa mereka dikenang dan nama mereka disanjung oleh pewaris nusa dan bangsa. Harapan para pejuang agar kemerdekaan ini akan terus terbela dan nikmat ini akan kekal untuk generasi pewaris yang seterusnya.

TETAPI

Hakikatnya indah khabar dari rupa.....Pewaris nusa bangsa kini ibarat hilang punca. Tenggelam dalam arus kemodenan yang tak bertepi. Penjajahan minda kian berleluasa. Anak-anak muda hanyut dibuai mimpi-mimpi, diulit kemewahan bukan hasil sendiri dan leka dengan angan-angan kosong. Masalah sosial dan keruntuhan akhlak mencemari nikmat kemerdekaan lebih setengah abad ini. Mat rempit dan minah rempit merajai jalan raya.'Doktor-doktor tidak bertauliah' mengisi kekosongan jawatan di lorong-lorong gelap dan di bawah jambatan. Penuntut-penuntut di IPT yang cemerlang semuanya adalah wanita berbanding lelaki. Modal insan yang benar-benar berwibawa cuma berapa kerat sahaja yang bakal dilahirkan. Inilah fenomena yang berlaku kini.

REALITINYA

Kita tidak harus meletakkan tanggungjawab melahirkan modal insan ini hanya kepada pihak kepimpinan utama sahaja. Malah bakal pemimpin boleh diasuh dan dididik sejak dari dalam rahim ibu lagi. Sekiranya setiap pewaris di negara ini mampu mendidik setiap modal insan yang lahir dengan penuh kasih sayang dan ilmu pengetahuan yang mantap maka tidak hairanlah nikmat kemerdekaan ini akan terus terbela dan terpelihara selama-lamanya.

Wednesday, August 6, 2008

Bicara Buat Ayah

Mata Ayah

Kujabat mesra tangan ayah
urat-urat daging-daging tua keras terasa
mataku tersenyum, matanya menyapa
anak yang pulang disambut mesra.

Tatapi matanya, mata yang menatapku
kolam-kolam derita dan pudar bulan pagi
garis-garis putih lesu melingkungi hitam-suram
suatu kelesuan yang tak pernah dipancarkan dulu.

Kelibat senyum matanya masih jua ramah
akan menutup padaku kelesuan hidup sendiri
bagai dalam suratnya dengan kata-kata riang
memintaku pulang menikmati beras baru.

Anak yang pulang disisi ayahnya maka akulah
merasakan kepedihan yang tercermin di mata
meski kain pelekatnya bersih dalam kesegaran wuduk
dan ia tidak pernah merasa, sebab derita itu adalah dia.

Nukilan : Usman Awang

SEMOGA AYAH CEPAT SEMBUH...




Tuesday, August 5, 2008

Lilin diri...

Alangkah sibuknya perjalanan hari-hariku minggu ini. Masa seolah-olah cemburu mengekang masa senggangku dengan putera dan puteri ku sayang. Apatah lagi isteri yang paling kukasihi juga sibuk dengan kerjanya.

Minggu ini sahaja, setiap hari perlu berulang-alik ke Grik demi menjalankan amanah untuk nusa dan anak-anak didik tersayang. Pelbagai program yang bakal berlangsung hujung minggu ini, menuntut sumbanganku. Tidak lain dan tidak bukan demi kecemerlangan Daerah Hulu Perak jua.

Biarpun sibuk, namun hati terdetik ceria dan lapang bila kembali ke Teratak Impian Kasih. Gelagat permaisuri serta putera dan puteriku amat mencuit hati dan menghiburkan jiwa.

Kepadamu Ya Allah, berkatilah kedamaian dan ketenteraman hidup kami ini dengan limpah dan kurnia dariMu... Semoga berkekalan hendaknya ikatan kasih sayang yang terbina ini selagi jasad dikandung badan....Semaikanlah bibit-bibit kasih dan cintaMu sepanjang kami melayari bahtera kehidupan di dunia yang fana ini....Amin.

Sunday, August 3, 2008

Kedah Layak Ke Suku Akhir Piala Malaysia

Ternyata spekulasi yang membimbangkan peminat Hijau Kuning berkenaan penyerang import sensasi, Marlon Alex James tidak merencatkan sedikit pun persembahan permainan pasukan Kedah yang menang bergaya ke atas pasukan Johor FC semalam. Kemenangan 4-1 dengan Marlon meledakkan hatrik membuatkan para peminat begitu terharu dengan komitmen dan sikap profesional pemain tersebut walaupun dia mengetahui masa depannya bersama skuad Kenari bakal tertutup dek peraturan 'baru' FAM laungan timbalannya, Khairy Jamaluddin yang secara lantang tidak membenarkan pasukan yang beraksi dalam Liga Super mahupun Liga Premier menggunakan tenaga pemain import. Kononnya untuk melahirkan lebih ramai pemain tempatan yang berkaliber dan berwibawa. Nah, peraturan apa ini? Benarlah kata orang. Jangan sebut pasal bola sepak kalau tidak tahu apa-apa mengenainya. Lihat saja Liga Perdana Inggeris, Liga Sepanyol, Liga Itali dan Liga Perancis, rata-rata pasukan yang bertanding semuanya menggunakan awang import. Namun pasukan kebangsaan mereka masih boleh menjuarai Piala Dunia ataupun Kejohanan Eropah. Jadi kepada FAM, ingatlah kata-kata Nabil Raja Lawak.... lu fikirlah sendiri.
Apapun tahniah kepada skuad Kenari.
Kekalkan semangat juang yang tinggi untuk menentang Perak pulak.

Semoga kejayaan treble dapat diulangi!

KEDAH PANTANG KALAH!

BIAR JASA JADI KENANGAN

Friday, August 1, 2008

Bila Diburu Kenangan



Kenangan bersama teman-teman seperjuangan sukar dilupakan. Adakalanya indah bagai mimpi yang tiada kesudahan namun adakalanya pahit untuk diingati semula...


Apapun biarlah kenangan tinggal kenangan...hari ini, esok dan lusa adalah detik masa untuk merealisasikan impian ke arah menjadi INSAN KAMIL...sebelum tiba masa kembali menghadap ILAHI.

Thursday, July 31, 2008

Rumahku Syurgaku

Lot 181, Padang Tamat.... teratak impian kasihku
11 Nov 2007... tanggal keramat kediaman ini kami diami
Syukur kami atas rezeki yang Kau limpahkan kepada kami, Ya Allah.

Permata Hatiku


Isteri tersayang, Nor Azah Azirah bt Md Noor....buah hati pengarang jantung pembakar semangat dalam setiap apa jua yang dilakukan

Abang Long, Ahmad Rafiq Hariri....pencetus kemeriahan suasana penghibur sekeluarga

Kak Ngah, Durratun Insyirah Iwani...pengikat kasih sayang pendamai jiwa